Menu

Social

7 Perkara Asas yang Anda Perlu Tahu Mengenai JMB

leader
Bagi pemilik apartment, kondominium atau menara bangunan pejabat, istilah Joint Management Body (JMB) atau Badan Pengurusan Bersama pasti tidak asing lagi kepada mereka. Apa yang ramai tahu, JMB menguruskan bangunan tersebut dan pembayaran yuran penyenggaraan perlu dibayar kepada mereka.

Namun sejauh mana lagi anda tahu mengenai JMB?

Di sini saya kongsikan 7 perkara asas yang anda tahu mengenai JMB, supaya anda, terutama pemilik unit strata ini tahu apa yang berlaku dan sedikit sebanyak hak mereka sebagai pembeli.

1. Joint Management Body (JMB) atau Badan Pengurusan Bersama merupakan satu badan pengurusan bagi bangunan berstrata yang diperuntukkan di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelenggaraan dan Pengurusan) atau juga dikenali sebagai Akta 663. Akta ini diluluskan di Parlimen pada tahun 2007. Oleh yang demikian, sebelum tahun 2007, istilah atau pelaksanaan JMB tidak wujud di Malaysia.

2. JMB berfungsi sebagai badan yang bertanggungjawab mengurus dan menyelenggara bangunan dan harta bersama. Harta bersama di sini bermaksud segala elemen berstruktur seperti tangga, koridor, lif, paip, tangki air dan sebagainya yang digunakan secara bersama dan bukan merupakan sebahagian dari mana-mana parcel yang dibeli. Selain itu, JMB berperanan untuk menginsuranskan bangunan dan membuat tuntutan pampasan bila diperlukan. JMB juga menentukan kadar yuran penyelenggaraan dan menyimpannya di dalam Building Management Fund atau Tabung Pengurusan Bangunan untuk diaudit.

3. JMB dianggotai oleh semua pemilik unit strata di dalam satu-satu bangunan tersebut serta wakil dari pihak pemaju. Pemilik di sini adalah orang yang namanya tertera di surat perjanjian jual/beli dan/atau di geran unit tersebut. Hanya ahli yang boleh menghadiri mesyuarat serta mempunyai suara di dalam program bangunan tersebut.

4. Kewujudan JMB dan fungsinya hanyalah untuk sementara, bukan selama-lamanya. Ia perlu ditubuhkan dalam masa 12 bulan dari tarikh 12 April 2007 iaitu tarikh Akta 663 ini dikuatkuasakan, atau dari tempoh 12 bulan dari tarikh penyerahan kunci. JMB akan dibubarkan apabila Perbadanan Pengurusan atau Managemant Corporation (MC) bagi bangunan itu ditubuhkan. Penubuhan MC berlaku setelah hakmilik strata atau strata title telah dikeluarkan dan pihak pemaju memanggil Mesyuarat Agung Tahunan MC yang pertama.

5. Sekiranya JMB gagal ditubuhkan dalam tempoh yang dinyatakan di atas, peranan dan kuasa Suruhanjaya Bangunan atau Commisioner of Building (COB) diperlukan untuk melantik mana-mana individu yang boleh memanggil Mesyuarat Agung Pertama JMB, seterusnya membentuk JMB. COB merupakan pegawai kanan dari Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang telah dilantik bagi setiap negeri.

6. Pemaju bertanggungjawab memanggil Mesyuarat Agung Tahunan JMB yang pertama. Mereka perlu memberi notis panggilan mesyuarat ini kepada semua pemilik atau penduduk secara bertulis dalam masa 14 hari sebelum mesyuarat diadakan. Di dalam Mesyuarat Agung Tahunan ini, lantikan ahli JMB yang juga dikenali sebagai Joint Management Committee (JMC) atau Jawatankuasa Pengurusan Bersama akan dijalankan melalui undian. Berdasarkan peruntukan di dalam Akta 663, keahlian JMC mestilah sekurang-kurangnya 5 orang dan tidak lebih dari 12 orang, Terdiri daripada Pengerusi, Setiausaha, Bendahari dan wakil pemaju. Setiap ahli boleh dilantik di jawatan tersebut tidak melebihi 3 tahun atau sehingga JMB dibubarkan, mana-mana yang terdahulu.

7. Walaupun semua pemilik boleh dan dijemput menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Pertama ini, hanya pemilik yang tidak mempunyai tunggakan yuran penyelenggaraan sahaja yang dibenarkan mengundi untuk apa-apa resolusi yang dibentangkan. Pemilik yang tidak dapat hadir boleh melantik proksi dan memaklumkannya kepada pemaju dalam tempoh masa 7 hari sebelum tarikh mesyuarat. Kuorum mesyuarat pula mestilah ¼ daripada keseluruhan pemilik yang layak mengundi. Namun, sekiranya korum tidak mencukupi, mana-mana ahli yang hadir bolehlah membentuk korum selepas 30 minit dari waktu mesyuarat sepatutnya dijalankan.

Guest Post by Rohaniah Noor,
Rohaniah Noor is a real estate investor, blogger, freelance speaker and a law student. She started investing in real estate since 2006. Since then, she has never looked back. Visit her website at www.propertywaltz.com

One thought on “7 Perkara Asas yang Anda Perlu Tahu Mengenai JMB”

  1. Kok Soo Leong
     ·  Reply

    Hi Rohaniah Noor,

    Good day

    can the JMC increase the maintenance charge if many owners didn’t attend the EGM due to owner didn’t get the notice, pls?

    example 600 owners. How many owners needed so that the EGM is valid?

    Thanks

Leave a Reply

Your email address will not be published.

*